Rabu, 7 Oktober 2020

WARDHINA HUDA BINTI AFANDI ( ADAB MASUK DAN KELUAR TANDAS )

Adab atau akhlak membawa maksud perilaku dan perbuatan kebaikan, kesantunan, moral, sopan santun serta kemanusiaan.

Sunnah Rasulullah SAW bermula dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada perkara yang paling besar dalam kehidupan muslim, mukmin dan manusia sejagat. Hatta, adab untuk masuk ke tandas pun baginda ajarkan. 

Tandas itu sifatnya kotor dan tempat untuk membuang benda-benda yang kotor untuk membersihkan diri kita. Tandas juga diberi perumpamaan sebagai rumah syaitan kerana si situlah tempat syaitan dan segala jenis kaum kerabatnya tinggal.

Sebuah hadis Rasulullah SAW bercerita bahawa Iblis meminta tempat tinggal kepada Allah seperti halnya Allah SWT memberikan tempat tinggal anak-anak Adam berada di bumi.

“Ya Allah, Adam dan keturunannya Engkau beri tempat tinggal di bumi, maka berilah apula aku tempat tinggal,” kata Iblis.

Allah SWT berfirman: “Tempat tinggalmu adalah di bilik air (bilik mandi atau jamban).” (Hadis riwayat bukhari, no 7437)



TANDAS BERSIH HARUM BAUNYA,

TEMPAT KUNJUNGAN SETIAP MANUSIA,

ADAB DIJAGA MARUAH TERPELIHARA,

MARILAH KITA HAYATI BERSAMA



Adab Masuk dan Keluar Tandas.

ADAB MASUK TANDAS :

  • Memakai penutup kepala 
                             
Gambar 1 

Amalan menutup kepala dengan kain ini berdasarkan athar yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimullah:

رُوِىَ فِى تَغْطِيَةِ الرَّأْسِ عِنْدَ دُخُولِ الْخَلاَءِ عَنْ أَبِى بَكْرٍ الصِّدِّيقِ ، وَهُوَ عَنْهُ صَحِيحٌ

Maksudnya: Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakr al-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau.  ( Sunan al-Kubra, al-Baihaqi (1/96) ).

Walaupun perbuatan menutup kepala ini tiada diriwayatkan di dalam mana-mana hadis yang sahih, tetapi ia merupakan amalam yang sangat dituntut kerana amalan para sahabat adalah perkara yang digalakkan untuk kita mengamalkannya.

  • Memakai alas kaki
  • Gambar 2

Ini adalah kerana lebih menjaga kebersihan kaki kita dari tercemar ketika berada di dalam tandas dan mengelakkan daripada terjatuh. 

Habib bin Salih meriwayatkan :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ لَبِسَ حِذَاءَهُ وَغَطَّى رَأْسَهُ
Artinya : “Adalah Rasulullah saw apabila memasuki tandas memakai ia akan selipar dan menutup kepala.” (Hadith Baihaqi)

Memakai selipar apabila berada di dalam tandas menjadi keperluan bagi kita kerana lantai tandas yang kotor boleh menyebabkan kaki kita terkena najis secara tidak sengaja dan terjatuh akibat licin. Oleh sebab itu, kita mestilah menyediakan selipar di dalam tandas untuk mengelakkan kita dari mengotorkan kawasan yang lain di dalam rumah tanpa sedar apabila keluar dari tandas nanti. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang belum mumayyiz yang tidak boleh membezakan kotor dan bersih. Jadi, ibu bapa dan guru mestilah menyediakan selipar di dalam tandas dan mengajar kanak-kanak supaya memakai selipar apabila masuk ke tandas semasa di rumah atau di sekolah. 
  • Membaca doa sebelum masuk tandas

Gambar 3


Diriwayatkan daripada Abdul ‘Aziz bin Suhaib yang berkata, aku mendengar Anas berkata, jika Nabi S.A.W masuk ke dalam tandas, maka baginda berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبَائِثِ

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari syaitan lelaki dan syaitan perempuan. (Riwayat Bukhari)

Kita sangat digalakkan untuk  membaca doa ini kerana ia merupakan doa yang diamalkan oleh nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W. Selain itu, doa ini juga adalah untuk menghindarkan diri daripada tipu daya dan gangguan syaitan. 

Semasa di sekolah, guru mestilah mengajar dan menyuruh kanak-kanak menghafal doa masuk ke tandas supaya mereka terbiasa dan melakukannya juga di rumah. Ini adalah kerana apabila di rumah, kanak-kanak lebih suka bermain dan kurang belajar tetapi apabila di sekolah, mereka akan mengikut jadual yang disediakan dan mendengar kata guru. 

VIDEO DOA MASUK TANDAS

  • Masuk dengan kaki kiri

Gambar 4


عن عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْيُمْنَى لِطُهُورِهِ وَطَعَامِهِ وَكَانَتْ يَدُهُ الْيُسْرَى لِخَلاَئِهِ وَمَا كَانَ مِنْ أَذًى

Maksudnya : “Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata bahawa tangan kanan Rasulullah ﷺ dipergunakan dalam bersuci dan makan. Adapun tangan kiri, digunakan untuk membersihkan bekas kotoran dari buang hajat dan perkara-perkara yang najis (najis).” (Sunan Abu Daud) ‏

Berdasarkan hadis ini kita faham bahawa Rasulullah menggunakan anggota tubuh badan yang kiri bagi perkara – perkara yang melibatkan kekotoran dan masuk tandas dengan mendahulukan kaki kiri adalah salah satu daripada sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Sesungguhnya setiap sunnah baginda mempunyai hikmah yang tersembunyi. 

ADAB KELUAR TANDAS :

  •   Melangkah keluar dengan kaki kanan

Gambar 5

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ‏.

Maksudnya : “Daripada Aisyah Radiallahu’anha berkata, Rasulullah S.A.W sangat menyukai mendahulukan yang kanan ketika memakai sandal, ketika menyisir rambut dan ketika bersuci, juga dalam setiap perkara yang baik-baik”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menceritakan kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W sentiasa mendahulukan yang kanan dalam perkara yang baik –  baik. Kenapakah keluar daripada tandas dikategorikan sebagai perbuatan yang baik? 

Ini kerana kita disuruh untuk menyelesaikan urusan kita dalam tandas dengan secepat mungkin. Perbuatan seperti menyanyi didalam  tandas adalah tidak digalakkan kerana ia merupakan salah satu tipu daya untuk manusia lalai dalam mengingati Allah ketika berada di dalam tandas.
  •  Membaca doa keluar tandas

 

GAMBAR 6



غُفْرَانَكَ  الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّي الأَذَى وَعَافَانِي

Maksudnya : “Aku memohon keampunan Mu (Ya Allah), Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dariku sesuatu yang menyakiti dan menyihatkan aku”

VIDEO DOA KELUAR TANDAS

RUMUSAN
Adab – adab yang disebutkan di atas hanyalah sebahagian daripada adab – adab keluar masuk tandas yang perlu dididik kepada kanak-kanak di sekolah mahupun di rumah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kanak-kanak mestilah diberitahu dan diajar tentang perkara yang baik dan perkara yang tidak baik, apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dan sebagainya kerana kanak-kanak akan mendengar dan mengikut kata orang yang lebih dewasa atau orang yang dipercayainya seperti ibu bapa dan guru. 
Terdapat juga kanak-kanak yang lebih mendengar kata guru daripada ibu bapa kerana faktor ekonomi kini yang menyebabkan kebanyakan ibu bapa bekerja keras untuk mencari duit untuk keluarganya dan kanak-kanak pula lebih banyak masa bersama guru daripada ibu bapa. Justeru itu, guru mestilah memain peranan penting menggantikan ibu bapa mendidik kanak-kanak ke arah yang lebih baik. Jadi, marilah kita sama-sama berusaha melahirkan individu yang terbaik dalam menjaga adab walau dimana sahaja kita berada, insya-Allah. 

ADAB MASUK DAN KELUAR TANDAS


Video ringkas tentang adab keluar dan masuk tandas.


BIBLIOGRAFI

Unit ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis. (2019). Adab Memasuki Tandas. 11 Oktober 2020 daripada  
               https://mufti.perlis.gov.my/index.php/coretan-isnad/69-adab-memasuki-tandas

Kanak-kanak, S. K. PEMBENTUKAN TATACARA KEHIDUPAN BERADAB: KEPERLUAN ASAS KANAK-KANAK ISLAM.

Jayana, T. A. (2018). Adab dan doa sehari-hari untuk muslim sejati. Elex Media Komputindo.


Fizah Lee. (2019). Ikuti Sunnah Rasulullah ketika Memasuki Tandas. 11 Oktober 2020 daripada
               https://tzkrh.com/ikuti-sunnah-rasulullah-ketika-masuk-ke-tandas/










Tiada ulasan:

Catat Ulasan